Dalam laporan UN Education Index Malaysia berada di kedudukan 98 daripada 181
negara. Manakala kajian “Programme for International Student
Assessment” (PISA), Malaysia corot di tangga 55 daripada 74. Bagi
keputusan kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS) 2011
pula menunjukkan penurunan prestasi Matematik dan Sains mendadak
sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999.”
Apakah maksud semua laporan penilaian pendidikan antarabangsa ini?
Maksudnya, para pelajar Malaysia adalah antara yang paling lemah apabila
dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain di seluruh dunia.
Namun begitu.
Dilaporkan juga Gred Purata Nasional (GPN) untuk peperiksaan PMR
meningkat ketara untuk 5 tahun yang lalu iaitu 2.83 pada 2008, 2.78 pada
2009, 2.74 pada 2010 dan terbaru 2.71 pada 2011. Bilangan pelajar yang
mendapat A di dalam Matematik juga meningkat dari 26.7 peratus pada 2010
kepada 28.9 peratus pada 2011 manakala untuk subjek Sains pula
meningkat dari 18.5 peratus pada 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011.
Untuk SPM pula, pencapaian 2011 dikatakan pencapaian terbaik dalam masa 5
tahun dengan peningkatan GPN dari 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011.
(Rujukan Buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang)
Apa pula maksud laporan peningkatan GPN mengikut prestasi PMR dan SPM
ini? Maksudnya, selama berpuluh tahun kita menipu diri kita sendiri
sehinggalah datang indeks antarabangsa keluaran UN Education Index, PISA
dan TIMSS yang membongkar perihal budaya penipuan yang selama ini
berakar dalam konsep pendidikan kita. Bagaimana mungkin GPN PMR dan SPM
meningkat walhal para pelajar kita tercampak dalam kedudukan 2/3
tercorot di seluruh dunia?
Rakyat Malaysia terkujat, sekali lagi.
Jadi sekarang kita sudah tidak boleh menipu diri sendiri lagi kerana
seluruh dunia sudah mengetahui betapa terkebelakangnya para pelajar kita
dalam bidang Sains, Matematik, literasi pembacaan dan penyelesaian
masalah kritikal. Untungnya daripada kesedaran ini, kita dapat melihat
beberapa usaha ‘transformasi’ pendidikan yang dijalankan Kementerian
Pendidikan disamping cadangan tokoh negarawan seperti Tun Mahathir bagi
menambah baik pendidikan kita.
Kementerian Pendidikan berjaya membuatkan masyarakat teruja dan
bergantung harap dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
yang setebal 248 mukasurat (yang entah siapa nak baca?) dan memuatkan 11
anjakan strategik sebagai cadangan penyelesaian kepada masalah
pendidikan kita.
Hasilnya, tercetus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menyeksa
kehidupan para guru selama empat tahun berturut-turut dengan server yang
lembab dan pertambahan kerja pengkeranian mengisi data dan ‘mencipta’
statistik para pelajar. PBS ini dimansuhkan selepas empat tahun berjalan
menyebabkan para guru yang bersengkang-mata pukul empat pagi untuk
mengisi data online dan berjerih-payah membuat dokumentasi fail pelajar
berasa sakit hati dan usaha mereka seperti tersia-sia.
Selepas PBS, lahir pula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara
terburu-buru yang sekali lagi menjadikan para pelajar tingkatan tiga
pada tahun 2014 sebagai tikus makmal. Hampir dua tahun belajar mengikut
format PMR sebelum mendapat ‘kejutan budaya’ PMR dimansuhkan dan
digantikan dengan PBS yang ‘tak ada exam’. Tiba-tiba mereka dikejutkan
dengan PT3 yang perlu dihadapi dengan masa persiapan kurang daripada dua
bulan. Realitinya disaat para pelajar tingkatan tiga disuruh menghadap
PT3, sebahagian besar para guru masih terkial-kial cuba memahami konsep
PT3. Lalu bagaimana para guru yang masih belum benar-benar mahir dengan
PT3 akan mempersediakan para pelajar untuk PT3 dalam tempoh masa kurang
daripada dua bulan?
Tapi, ini kan Malaysia. Malaysia amat sinonim dengan perkataan ‘boleh’.
Perkara ini sudah pernah pun berlaku dahulu sebagai contoh PPSMI dimana
para pelajar dijadikan tikus makmal dan para guru menjadi bidan terjun
yang mengendalikan tikus-tikus ini sebelum ‘eksperimen’ itu dihentikan
kerana tekanan masyarakat.
Selain daripada itu, kita tidak lupa untuk mengidolakan polisi
pendidikan negara lain. Negara seperti Finland, Korea Selatan dan Jepun
sering kali menjadi bahan bicara ahli akademik terutamanya tatkala
roadshow PPPM hangat dijalankan diseluruh negara dahulu. Kita sibuk
melihat kepada teori pendidikan yang digunapakai negara-negara ini
sehinggakan kita lupa masalah paling utama dalam pendidikan kita
bukannya terletak dalam perbahasan teori sebaliknya di peringkat
implementasi.
Masalah implementasi yang tidak pernah selesai
Saya pernah menulis tentang tiga perkara yang banyak mempengaruhi
implementasi polisi pendidikan. Saya ingin berkongsi tentang dua perkara
tersebut disini iaitu:
1. Mengajar mengikut kepakaran
2. Beban kerja pengkeranian yang terlampau banyak dan tidak
mendatangkan faedah sebaliknya menjejaskan kualiti pengajaran dan
pembelajaran
Dua perkara ini bukanlah perkara baru. Ianya pernah disebut dan
diketengahkan semenjak tahun 80an, sepanjang tahun 90an sehinggalah
sekarang dengan sasaran Wawasan 2020 hanya tinggal 6 tahun saja lagi.
Namun, perkara ini masih tidak selesai-selesai. Bekas Presiden Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Siva Subramaniam pernah
menyebut pada tahun 1995 tentang masalah para guru yang ditempatkan
tanpa mengikut opsyen. Sedihnya, perkara ini masih lagi berterusan.
Tak perlu saya lambakkan statistik yang banyak dalam laporan-laporan
dan kajian-kajian pendidikan. Sebaliknya saya ajak anda berborak dengan
antara 400,000 orang guru yang anda kenal untuk mengetahui tentang
realiti ‘penempatan guru’ di sekolah. Berapa ramai guru yang belajar
Matematik tapi disuruh mengajar Bahasa Inggeris? Berapa ramai guru yang
langsung tak pernah belajar teori pedagogi dan ilmu Sains tapi apabila
masuk sekolah dipaksarelakan pentadbir untuk mengajar Sains? Dan berapa
banyak sekolah yang masih kekurangan guru Kemahiran Hidup walaupun sudah
bertahun-tahun matapelajaran itu dimasukkan dalam kurikulum?
Perkara kedua, beban kerja pengkeranian. Ini adalah masalah
implementasi paling utama yang dihadapi pasukan pelaksana polisi
pendidikan iaitu para guru. Dengan begitu banyak jenis fail yang perlu
disediakan di sekolah, data-data yang perlu dimasukkan sama ada secara
offline atau online secara berulang-ulang. Disamping perlu
bertungkus-lumus membuat kerja seperti mengambil dan menghantar pelajar
ke pertandingan, menghias dewan untuk sambutan hari kemerdekaan
sehinggalah ke perkara-perkara seperti membina dan mengecat bangunan
sekolah dan tandas. Sebenarnya, apa sahaja yang para guru tidak lakukan
di sekolah selain mengajar?
Iya, tolong jangan buat-buat pelik seolah-olah anda sedang membaca
berita hairan. Kerja guru bukan lagi mengajar. Kerja mengajar dalam
kelas sekarang ini bukan lagi kerja paling utama. Sebaliknya banyak lagi
benda-benda lain yang tiada langsung kaitan dengan pengajaran dan
pembelajaran yang terpaksa para guru lakukan di sekolah dan diluar
sekolah.
Walaupun sejak tahun 90an lagi kesatuan guru dan para guru sudah
mengeluh meminta lebih ramai pembantu guru gred N17 untuk membuat
kerja-kerja yang tak memerlukan kemahiran pendidikan, tapi nampaknya
perkara ini seperti masih jauh untuk kita capai walaupun pada hakikatnya
sasaran Wawasan 2020 itu semakin mendekat.
Implementasi sistem pengurusan pendidikan dan pengurusan hospital.
Cuba bayangkan jika cara kerja Kementerian Pendidikan kita diaplikasikan Kementerian Kesihatan.
Di hospital-hospital tidak terdapat ramai jururawat sebaliknya para
doktor yang perlu melaksanakan tugas-tugas selain bidang kepakaran
mereka. Apabila pesakit sampai, para doktor perlu mendaftarkan mereka
dikaunter pendaftaran seperti mana guru kelas mendaftarkan para pelajar
di awal tahun serta mengambil dan memasukkan data kedatangan setiap
hari.
Setelah pendaftaran, para doktor perlu terlebih dahulu memasukkan data
pesakit ke dalam fail pendaftaran mengikut kategori dan jenis penyakit.
Sama seperti para guru yang perlu menyediakan fail untuk setiap pelajar
mengikut bidang ko-kurikulum, kurikulum, disiplin dan peribadi. Belum
masuk fail panitia, subjek, peperiksaan dan beratus-ratus lagi fail
lain.
Dalam kekalutan para doktor yang mahu bersiap-sedia memeriksa pesakit
mereka yang sakit, mereka akan kerap kali dilanda ombak-ombak
pemeriksaan pegawai atasan yang datang untuk memeriksa kekemasan fail,
data dan statistik. Bagaimana doktor-doktor ini boleh memeriksa dan
merawat pesakit mereka dengan tenang jika asyik dikacau untuk dilihat
pengurusan data dan fail mereka?
Belum kita kira jika para doktor sendiri yang perlu memandu ambulans
untuk mengambil pesakit yang kemalangan jalanraya atau hampir meninggal
kerana sakit jantung seperti mana para guru yang selalu-selalu disuruh
menghantar para pelajar sama ada untuk menghadiri pertandingan, sakit ke
klinik ataupun mengikuti rombongan.
Jika sistem sebegini diimplementasikan Kementerian Kesihatan di
hospital-hospital maka semakin ramailah pesakit yang akan mati seperti
mana ramainya pelajar kita yang seperti sudah ‘mati otak’ kerana
walaupun 11 tahun belajar di sekolah tetapi masih berfikir dan menulis
seperti budak tidak bersekolah. Untuk ini, siapa yang nak dipersalahkan?
Guru? Eh, bukan kita sibuk-sibuk nak tengok para guru siapkan fail dan
uruskan sekolah daripada bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar?
Memasukkan data dan statistik sama ada online ataupun offline, mengukur
ketinggian dan berat badan murid, mengemaskini fail pengurusan yang
beratus-ratus jenis, menghantar para murid ke sana ke sini dan pelbagai
lagi benda remeh-temeh yang langsung tiada kesan signifikan kepada
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta sepatutnya boleh dilakukan
pembantu pengurusan sekolah dengan kelulusan SPM.
Jadi, mengapa kita bersusah-payah melatih para guru dalam pedagogi dan
teori pendidikan terkini jika di sekolah kita hanya perlu mereka untuk
melakukan benda-benda yang remeh-temeh? Benda yang menghabiskan
beratus-ratus rim kertas setiap hari hanya untuk ‘orang atas tengok’
sebelum diletakkan diatas rak sehingga berhabuk. Tambahan pula, kenapa
pula orang atas sibuk nak tengok benda-benda ni? Sudah terang lagi
bersuluh perkara-perkara yang remeh-temeh dan menyesakkan otak seperti
pengurusan fail, data dan statistik ini semua tetap gagal membawa
Malaysia gah dipersada pengukuran indeks antarabangsa seperti PISA dan
TIMSS.
Transformasi pendidikan yang bakal gagal, sekali lagi.
Ambillah Fulbright Teaching Assistant daripada Amerika Syarikat ataupun
guru pakar Bahasa Inggeris daripada India. Laksanakanlah subjek baru
bagi menerapkan nilai moral dan sahsiah seperti yang dicadangkan Tun
Mahathir baru-baru ini. Tirulah pelaksanaan pentaksiran berasaskan
sekolah mirip kaedah Finland ataupun mengadaptasi keghairahan menjawab
soalan peperiksaan dalam sistem Korea Selatan dan China.
Apa sahaja teori, polisi dan cadangan penambahbaikan yang datang
daripada Kementerian Pendidikan Malaysia setakat ini, saya percaya
semuanya bakal gagal. Dalam masa 10 tahun daripada sekarang kita akan
mengulangi semula senario kegagalan (baca: corot di PISA dan TIMSS) dan
percubaan transformasi (baca: rombakan pelan pembangunan pendidikan)
yang kemudiannya bakal gagal sekali lagi. Kenapa? Kerana kita tidak
menyelesaikan masalah akar iaitu ‘implementasi’.
Ini bukannya sekadar teori saya semata-mata. Lihat sahaja sejarah
perkembangan pendidikan kita. Perkembangan kurikulum daripada General
Syllabuses, ke Pendidikan Komprehensif, Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sehingga
sekarang kita sudah memasuki fasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) serta Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang memakan
masa puluhan tahun untuk dibangunkan.
Begitu juga dengan pelbagai laporan dan pelan pendidikan daripada
Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa
Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan (1996), Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (2006 – 2010) dan kini Pelan Pambangunan
Pendidikan Malaysia (2013 – 2025).
Mengapa setelah berjalannya kesemua laporan dan pelan pendidikan ini,
kita masih bakal gagal menghasilkan pelajar yang cemerlang diperingkat
dunia? Saya percaya kerana jurang pendidikan kita semakin melebar
terutamanya di antara pelajar dari keluarga kelas atasan dan keluarga
golongan pekerja.
Pelajar dari keluarga kelas atasan mempunyai kelebihan dari segi
pengaruh dan kewangan untuk menempah pendidikan terbaik di
sekolah-sekolah ternama di Malaysia disamping menghadiri kelas tusyen
berbayar. Sebaliknya para pelajar golongan pekerja yang mendapatkan
pendidikan di sekolah-sekolah harian biasa, terpaksa bergantung harap
kepada sekolah dan para guru mereka.
Namun, guru mereka tidak mungkin dapat menyediakan perkhidmatan
pendidikan terbaik. Kerana apa? Kerana guru mereka sibuk dikerah untuk
menyediakan fail, menilik data, menyimpan statistik dan lain-lain
pekerjaan remeh. Guru yang sebenarnya memegang jawatan Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan, kini lebih layak digelar sebagai Pegawai
Pengurusan Pendidikan.
Apabila kita terlalu taksub dengan hal-hal pengurusan maka perkhidmatan
pendidikan kita merudum jatuh. Kesannya, pelajar kita pergi sekolah dan
tak sabar nak balik. Para guru pergi bekerja dan tak sabar nak bercuti.
Para pentadbir bagi kerja dengan alasan ‘orang atas suruh buat’ sebab
‘nanti dia nak datang tengok’. Tak hairanlah kenapa kualiti pendidikan
kita terus-menerus berenang di dalam longkang.
Kesimpulannya, saya lihat perkara paling utama yang perlu dilakukan
untuk memulihara keberkesanan pendidikan kita adalah dengan cara
mengembalikan peranan, tanggungjawab serta kedudukan guru di tempat yang
sepatutnya iaitu di dalam kelas, berhadapan dengan klien utama mereka
iaitu para pelajar.
Walaubagaimanapun, perkara ini masih gagal disedari mereka yang
sekarang ini sedang sibuk menyuruh guru menyiapkan lima jenis laporan
berasingan untuk PT3, masukkan statistik markah pelajar di dua portal
yang berbeza, masukkan data kedatangan setiap hari, data disiplin setiap
minggu dan pelbagai lagi kerja pengurusan lain. Semua ini atas nama
‘transformasi’ pendidikan.
Transformasi apa? Transformasi caca-marba. – 22 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at:
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/transformasi-caca-marba-pendidikan-malaysia-mohd-faiez-mohd-ali#sthash.opuQ3QDr.dpuf
0 comments: