KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
mengajak peminjam tegar yang tidak pernah buat sebarang bayaran balik
untuk segera bertemu mereka sebelum penyenaraian nama peminjam tegar
dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dikuatkuasakan.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, masih ada tempoh
lebih kurang sebulan sebelum 1 Januari 2015 untuk tindakan itu
dikuatkuasakan, dan sepatutnya 173,985 peminjam yang tersenarai pada
peringkat awal itu tampil berunding dengan pihaknya.
“Sejak daripada dahulu PTPTN mengamalkan sikap mesra pelanggan dan
faham dengan situasi yang ada dan kita harap peminjam kita tidak terus
menjauhkan diri.
“Datang berhubung dengan kita, rundingan boleh dibuat kerana apabila
pelajar itu memulakan pinjaman dengan PTPTN bermakna mereka sudah
menjadi sebahagian keluarga PTPTN,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada awal November lalu, PTPTN mengumumkan seramai 558,475 nama
peminjam dikenal pasti gagal membuat bayaran balik pinjaman sejak1997.
Daripada angka itu, mengakibatkan PTPTN gagal menerima bayaran balik
berjumlah RM4.3 bilion yang mana dana itu boleh dimanfaatkan kepada
200,000 pelajar baharu sehingga mereka tamat belajar.
0 comments: