Telefilem Strawberi & Karipap gandingan bintang cilik Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar dan penampilan Sein serta Nur Fathia mula ditayangkan di saluran Astro Ceria pada 2013.
Jenama Strawberi & Karipap diteruskan dalam versi drama bersiri 13 episod dengan gandingan baru Zizan Nin dan Nelydia Senrose yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton tahun lalu, sekali gus berjaya meraih 'rating' sembilan juta penonton.
Justeru, atas permintaan ramai, kesinambungan cerita Strawberi & Karipap diterbitkan dalam projek supertelefilem dengan judul Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd.
Mengekalkan gandingan Mia, Rykarl, Zizan dan Nelydia, kali ini latar belakang kota romantik Paris yang indah menjadi keistimewaan supertelefilem genre komedi ini.
Ia dimantapkan lagi dengan gandingan aktres popular Lisa Surihani dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad buat julung kalinya.
Pengarahnya, P Prem Anand Pillai berkata, kekuatan Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris adalah kerana barisan pelakon hebat yang menerajuinya.
"Saya berpuas hati dengan prestasi barisan pelakon terutama gandingan Lisa dan Nabil yang menghidupkan karakter pasangan suami isteri iaitu Sofia dan Faris yang berbulan madu di Paris.
"Selama ini, kita sering saksikan gandingan mantap Lisa dengan Aaron Aziz dalam naskhah berat seperti filem Ombak Rindu.
"Tapi kali ini, Lisa digandingkan dengan Nabil yang juga seorang pelawak. Ternyata, Nabil juga boleh berlakon watak serius dan ada keserasian dengan Lisa walaupun pada mulanya dia nampak agak malu-malu dengan Lisa yang menjadi pasangannya dalam cerita ini," katanya.
Berkongsi lanjut, dari segi konsep dan idea asal, kata Prem, ia adalah dari pada pihak Astro Ceria sendiri.
"Saya tidak menafikan cerita Strawberi & Karipap ini mengambil inspirasi dari filem terkenal Hollywood seperti Parent Trap. Namun, ia ada kelainan dari segi skrip dan jalan ceritanya.
"Penggambaran supertelefilem ini berlangsung pada Mei lalu, tetapi hanya siap sepenuhnya bulan lalu.
"Ia juga membabitkan 90 peratus lokasi menarik sekitar Paris seperti Menara Eiffel, Champs-Elysees, Notre Dame, Love Bridge dan Arc D Triomphe. Penggambaran selebihnya pula dibuat di Kuala Lumpur," katanya.
Prem ditemui pada sidang media Supertelefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris yang berlangsung di pawagam TGV One Utama di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.
Ditanya, jika dia ada perancangan untuk membuat sambungan cerita itu, kata Prem, semuanya bergantung pada maklum balas daripada penonton nanti.
"Pihak kami memang ada perancangan ke arah itu, tetapi dengan mencari lokasi penggambaran di negara lain pula.
"Pada masa sama, pihak kami turut mempunyai perancangan untuk menerbitkan supertelefilem itu ke layar perak pula pada masa depan jika mendapat sambutan hebat dan berterusan daripada penonton nanti," katanya.
Zizan ingin pelbagaikan watak
Pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2014, Zizan Nin mengakui dia terima tawaran untuk berlakon dalam supertelefilem Strawberi & Karipap kerana tertarik dengan konsep dan jalan ceritanya.
Dalam supertelefilem ini, Zizan masih mengekalkan watak Pak Su Hairi yang juga teraju utama cerita ini bergandingan dengan Nelydia (watak Aunty Lisa).
"Sebagai pelakon, saya juga ingin mempelbagaikan karakter sedia ada termasuk menimba pengalaman berlakon dengan kanak-kanak.
"Saya juga tertarik dengan watak Pak Su Hairi yang bertanggungjawab menjaga dua anak saudaranya, Nini dan Haikal. Malah, dia terpaksa terbang ke Paris untuk mencari dua anak saudaranya itu.
"Saya juga tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon cilik Mia Sara dan Rykarl kerana kami sudah bekerjasama dalam drama bersiri Strawberi dan Karipap sebelum ini," katanya.
Pada masa sama, kata Zizan, dia percaya supertelefilem itu akan mendapat sambutan hangat penonton kerana ia sudah memiliki pengikutnya yang tersendiri.
"Apa yang penting, cerita ini memiliki nilai kekeluargaan yang mampu menghiburkan seisi keluarga di rumah," katanya.
Secara keseluruhannya, Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris berjaya menerapkan nilai kekeluargaan dan bahan hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga terutama pada musim cuti persekolahan ini.
Cerita ini memaparkan pengembaraan dua kanak-kanak iaitu Nini dan Haikal ke kota Paris untuk menyatukan cinta Aunty Lisa dan Pak Su Hairi.
Supertelefilem komedi Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris bakal bersiaran di saluran Astro First Eksklusif (Saluran 480) bermula 20 November ini.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8328#sthash.EYU0rZK5.dpuf
0 comments: