SHAH ALAM 15 Okt. - Penganjuran Pertandingan Inovasi Politeknik Shah
Alam (PicoSA) mampu melahirkan pencipta muda yang kreatif dalam inovasi
sesuatu produk untuk kegunaan orang ramai serta industri kecil dan
sederhana (IKS).
Pengurus Kanan Perkhidmatan Pengurusan AdvancePact Sdn. Bhd., Siti
Ainol Khabtiah Mohd. Jamil berkata, kreativiti merupakan salah satu
daripada kualiti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat multinasional
dalam mencari pekerja.
"Kreativiti merupakan nilai tambah dalam bidang pekerjaan kerana
syarikat-syarikat besar sentiasa mencari idea baharu untuk memenuhi
permintaan pelanggan.
"Justeru, saya melihat pertandingan ini adalah wadah untuk melahirkan
pelajar yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian penutup
PicoSA di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS) di
sini, semalam.
Yang hadir sama ialah Timbalan Pengarah Akademik PSSAAS, Norehan Md.
Shariff dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademiknya, Sharoni Ismail.
Siti Ainol Khabtiah menambah, pada masa ini tidak ramai pelajar yang
mempunyai pemikiran kreatif kerana mereka hanya menumpukan kepada
akademik semata-mata.
Sementara itu, sebanyak 50 pasukan menyertai PicoSA pada kali ini.
Rekaan yang dinamakan Uni'craft iaitu produk kraf tangan mesra
pengguna dan alam dipilih sebagai pemenang tempat pertama kategori
perdagangan.
Sistem Acuan Biskut Kacang yang dapat meningkatkan penghasilan produk
IKS sebanyak lima hingga enam kali ganda berbanding kaedah tradisional
dipilih memenangi kategori kejuruteraan.
0 comments: