PicoSA mampu lahirkan pencipta muda kreatif

SHAH ALAM 15 Okt. - Penganjuran Pertandingan Inovasi Politeknik Shah Alam (PicoSA) mampu melahirkan pencipta muda yang kreatif dalam inovasi sesuatu produk untuk kegunaan orang ramai serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Pengurus Kanan Perkhidmatan Pengurusan AdvancePact Sdn. Bhd., Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil berkata, kreativiti merupakan salah satu daripada kualiti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat multinasional dalam mencari pekerja.
"Kreativiti merupakan nilai tambah dalam bidang pekerjaan kerana syarikat-syarikat besar sentiasa mencari idea baharu untuk memenuhi permintaan pelanggan.
"Justeru, saya melihat pertandingan ini adalah wadah untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian penutup PicoSA di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS) di sini, semalam.
Yang hadir sama ialah Timbalan Pengarah Akademik PSSAAS, Norehan Md. Shariff dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademiknya, Sharoni Ismail.
Siti Ainol Khabtiah menambah, pada masa ini tidak ramai pelajar yang mempunyai pemikiran kreatif kerana mereka hanya menumpukan kepada akademik semata-mata.
Sementara itu, sebanyak 50 pasukan menyertai PicoSA pada kali ini.
Rekaan yang dinamakan Uni'craft iaitu produk kraf tangan mesra pengguna dan alam dipilih sebagai pemenang tempat pertama kategori perdagangan.
Sistem Acuan Biskut Kacang yang dapat meningkatkan penghasilan produk IKS sebanyak lima hingga enam kali ganda berbanding kaedah tradisional dipilih memenangi kategori kejuruteraan.

0 comments: