Para isteri perlu melalui dua langkah sebelum membuat keputusan
untuk meminta cerai daripada suami. Langkah pertama adalah seperti mana ayat
berikut:
Dan jika seorang perempuan
(isteri) bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”, atau tidak melayaninya,
maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara
mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik
(daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka mengalah
atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan
jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan
kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang
kamu lakukan. [al-Nisa’
4:128]
Ayat ini ditujukan kepada para isteri yang menghadapi 'masalah' dengan suami
mereka. Lebih tepat, suami yang bermasalah disebut sebagai suami yang Nusyuz.
Nusyuz secara bahasa bererti tinggi. Dalam konteks ayat ini, ia
bererti suami yang tinggi diri, ego, sombong dan bersikap ala diktator. Ayat
ini juga merujuk kepada suami yang tidak melayani isteri, bererti tidak memberi
nafkah batin kepada isteri seperti belaian kasih sayang, santapan rohani,
pelukan dan hubungan seks.
Apabila berhadapan dengan suami yang bermasalah seperti di atas, sebagai
langkah pertama menyarankan agar isteri mengusahakan perdamaian dengan
suaminya. Allah Subhanahu waTa’ala melalui ayat ini mengingatkan bahawa perdamaian
itu sebenarnya lebih baik daripada perceraian.Peringatan ini
diberikan agar pihak isteri tidak terlalu cepat meminta perceraian,
menyangkakan ia satu solusi yang terbaik.
Seterusnya Allah mengingatkan diri isteri dan suami daripada sikap kedekut,
kerana sikap kedekut ini menyebabkan masing-masing pasangan enggan mengalah dan
meminta maaf.
Jika langkah pertama ini
telah diusahakan bersungguh-sungguh dan perceraian masih menjadi pilihan, maka
langkah kedua adalah sepertimana ayat berikut:
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami
isteri) maka lantiklah seorang hakaman (orang tengah untuk memperbaiki mereka,
iaitu), seorang dari keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri. Jika
kedua-dua hakaman itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak memperbaiki (mereka
suami isteri), nescaya Allah akan memberi taufiq kepada mereka berdua (suami
isteri itu). Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam
pengetahuan-Nya.[al-Nisa’ 4:35]
Dalam
ayat di atas, Allah Subhanahu waTa’ala menerangkan jika dibimbangi akan berlaku
perpecahan atau perceraian di antara suami isteri, hendaklah dilantik seorang
hakaman. Secara lebih mendalam, hakaman ini hendaklah terdiri daripada:
1-Ahli
keluarga, yakni daripada kalangan ahli keluarga pihak suami dan ahli keluarga
pihak isteri.
2-Seorang
saja bagi pihak suami dan seorang saja bagi pihak isteri. Jumlah seorang adalah
terbaik kerana bilangan hakaman yang ramai hanya akan meriuh-rendahkan suasana
dan meninggikan kemungkinan aib-aib suami isteri yang sedang bertelingkah itu
tersebar.
Seorang
hakaman tidak boleh bersikap 'batu api', melaga-lagakan antara suami isteri
tersebut, memprovokasi atau berat sebelah sehingga hanya membela ahli
keluarganya. Tidak menyebarkan aib-aib suami isteri yang sedang bertelingkah.
Para hakaman tentunya akan bertanya dan mendengar aib, kelemahan dan kesalahan
masing-masing suami dan isteri, seterusnya memberi nasihat, teguran dan saranan
pembaikan.
Amat
penting bagi para hakaman untuk merahsiakan aib, kelemahan dan kesalahan
tersebut. Menyebar-nyebarkannya hanya akan menyukarkan proses pembaikan suami
isteri tersebut.
Seandainya
langkah kedua di atas juga tidak berjaya, barulah pihak isteri mula berjumpa
dengan peguam untuk membicarakan proses memohon cerai.
Seeloknya
seorang suami janganlah terburu-buru menjatuhkan talak kepada isterinya tanpa
sungguh-sungguh melalui langkah pertama dan kedua tersebut.
http://www.pesonapengantin.my/tip/perdamaian-lebih-baik-dari-penceraian-1.456379
0 comments: