Puasa Qadha adalah menggantikan
puasa wajib yang telah ditinggalkan sama ada disengajakan mahupun tidak
tanpa keuzuran. Puasa yang ditinggalkan wajib digantikan sebanyak hari yang
ditinggalkan.
Allah SWT. dalam firman-Nya: “…Maka
wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain…”
(Surah al-Baqarah, ayat 184).
Puasa
ganti wajib dilakukan
sekiranya seseorang itu membatalkan puasa Ramadhan, sama ada dengan
sengaja ataupun tak sengaja. Namun, ada beberapa keadaan yang tidak mewajibkan
untuk qadha puasa seperti orang yang baru masuk Islam, maka tak wajib
mengganti puasa yang ditinggalkan semasa beliau masih kafir.. begitu
juga seorang yang baru akil baligh, maka tak wajib mengganti puasa yang
ditinggalkan masa belum baligh dsb.
Wajib menyegerakan puasa qadha yang
ditinggalkan tanpa uzur dan haram melakukan puasa sunat termasuk
puasa enam, selagi belum diqadha puasa yang ditinggalkan.
Puasa
qadha boleh dilakukan pada bila-bila masa
kecuali pada hari diharamkan berpuasa. Ia wajib disegerakan sebelum masuk
Ramadhan yang baru. Jika qadha puasa hendak dikerjakan pada Syawal ia boleh
dilakukan selepas 1 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri).
Ibadat wajib jika ditinggalkan wajar
diqadhakan segera sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah.
Sunat menyegerakan qadha puasa secara berturut-turut. Puasa qadha ini hendaklah
dilakukan mengikut rukun dan syarat-syarat sebagaimana puasa biasa.
Wajib
Qadha Puasa Sahaja
Orang yang meninggalkan puasa wajib
dan mesti mengqadhakan puasanya sahaja ialah:
- Terlupa berniat.
- Sakit yang membahayakan.
- Pitam, pengsan, gila atau
mabuk.
- Perempuan yang datang haid atau
nifas.
- Sengaja berbuka atau jimak
(bagi isteri saja).
- Ibu mengandung yang bimbangkan
kesihatan dirinya.
- Menyusukan anak dan bimbang
menjejaskan kesihatan sendiri.
- Orang yang berkerja berat
sepanjang bulan puasa.
- Tersangat lapar dan dahaga yang
membahayakan.
- Orang yang kembali dari
bermusafir.
- Murtad.
Seseorang yang uzur syarie
berterusan, seperti masih musafir atau sakitnya berterusan hingga tiada ruang
mengqadhakan puasanya, diharuskan melewat qadha atas bilangan hari yang
ditinggalkan sehingga ia sihat dan tenang serta tidak wajib membayar fidyah
sekalipun telah melangkau beberapa Ramadhan.
Firman Allah Ta’ala :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ
مَرِيضًا أَوْ عَلَى
سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ
أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى
الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ
طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ
تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ
خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ
تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ
إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “(Puasa yang
diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa di antara kamu
yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia
berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke
atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya)
membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu
hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan
(bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan
baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada
memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah Ayat 184)
Waktu
Berniat Puasa Qadha
Waktu berniat puasa ganti ini adalah
sama dengan waktu puasa Ramadhan iaitu pada waktu malam dan berakhir ketika
masuk Subuh. Kalau berniat selepas Subuh, maka tidak sah puasa ganti itu.
Keadaannya sama macam puasa Ramadhan.. cuma bezanya, kalau berjimak waktu puasa
ganti tu, tidaklah dikenakan kifarah.
NIAT PUASA
QADA
Niat merupakan keinginan untuk
melakukan sesuatu ibadat, dan letaknya di hati. Jika anda berkeinginan
melakukan qadha puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat.
Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat.
Niat puasa ganti adalah lintasan
hati nak berpuasa qadha esok hari kerana Allah Taala. Maka termasuk di situ
sunat bersahur, sama macam puasa Ramadhan.. bezanya cuma pada niat.
Niat itu tidak semestinya menuntut
kepada satu lafaz yang khusus, namun bagi meyakinkan diri dan memantapkan niat
bolehlah dibaca lafaz niat menggantikan puasa di bawah.
LEWAT
QADA
1. Sekiranya terlewat mengqadha
puasa Ramadan, tanpa uzur syarie hingga tiba bulan Ramadhan tahun yang
berikutnya, maka;
a. Wajib mengqadha puasa
mengikut bilangan hari yang tertinggal.
b. Dan wajib membayar fidyah
berupa secupak makanan asasi bagi satu hari
puasa yang ditinggalkan.
2. Jika terlewat sehingga
memasuki dua kali Ramadhan maka dendanya ditambah secupak lagi menjadikan dua
cupak (2 fidyah) untuk 1 hari yang ditinggalkan, jika memasuki Ramadhan ketiga,
menjadi 3 cupak dendanya dan begitulah untuk tahun-tahun seterusnya, di samping
wajib mengqada puasa mengikut bilangan hari yang tertinggal sahaja.
3. Sekiranya berasa ragu-ragu
dengan bilangan puasa yang ditinggalkan, kiralah pada bilangan yang maksima
kerana dalam beramal biarlah kita berbuat lebih. Jangan lakukan cukup makan
saja, sebab setiap amalan yang kita laksanakan semuanya mendatangkan kebaikan
dan manfaat.
QADHA
PUASA WAJIB DAN SUNAT SERENTAK
Sesetengah ulama menjelaskan bahawa
pahala puasa sunat diperolehi juga dengan niat seseorang yang berpuasa qadha
atau berpuasa nazar. Seseorang yang melakukan sesuatu yang wajib pada waktu
yang disunatkan, maka dengan sendirinya melayakkan seseorang itu mendapat
pahala sunat.
1.
Puasa Qadha Dan Puasa 6
Melakukan puasa qadha yang hukumnya
wajib boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum sampai Ramadhan tahun akan
datang. Jika dilakukan dalam Syawal yang kebetulan ada fadilatnya, Allah SWT.
akan memberikan lebih ganjaran kepadanya kerana mengambil fadilat dalam bulan
berkenaan yang disunatkan berpuasa.
Bagi mereka yang diharuskan
meninggalkan puasa Ramadhan kerana masalah keuzuran, sunat mengerjakan puasa
enam walaupun masih mempunyai qadha. Keuzuran dibenarkan oleh syarak adalah
seperti:
- Orang dalam perjalanan
(musafir)
- Orang sakit
- Perempuan yang nifas
- Perempuan yang haid
Saidatina Aisyah berkata: “Dulu
kami haid pada zaman Rasulullah SAW. Maka, kami diperintahkan mengqada puasa
dan tidak diperintahkan mengqadha solat.”
Wanita yang kedatangan haid pada
bulan Ramadhan, boleh mengqadhakan puasa di samping mendapat pahala puasa sunat
enam Syawal. Caranya ialah dengan berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada
dan sunat dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran serentak (iaitu ganjaran
puasa qadha dan sunat).
Orang yang luput keseluruhan puasa
Ramadhan selama sebulan kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia
mengerjakan puasa qadha pada Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqadha
puasa enam itu dalam Zulkaedah.
Orang yang meninggalkan puasa
Ramadhan dengan sengaja atau tanpa keuzuran, mereka diharam mengerjakan puasa
enam pada Syawal kerana mereka diwajibkan menyegerakan qadha terlebih dahulu.
.
2. Qadha
Serentak
Mereka yang ketinggalan puasa
Ramadhan kerana keuzuran yang dibenarkan syarak, harus mengqadha puasa Ramadhan
serentak dengan puasa enam pada Syawal, namun begitu adalah lebih utama
mengqadha dahulu sebelum melakukan puasa sunat.
Bagi keuzuran yang dibenarkan
syarak, orang itu boleh melakukan qadha puasa Ramadhan sekali gus dengan puasa
enam dalam bulan Syawal. Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa
wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar atau puasa kifarah, pada hari-hari
yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis
atau hari ‘Asyura dan puasa sunat lain seumpamanya.
Dalam menunaikan puasa itu, jika dia
berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha dan sunat seperti puasa hari
Arafah atau puasa lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan
wajib itu. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat atau puasa wajib,
maka dia hanya akan mendapat pahala bagi puasa yang diniat itu sekalipun ia
dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya
menjelaskan mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib,
katanya: “Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia
mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur
tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”
Walaupun menyatukan puasa qadha
dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya,
ganjarannya tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis
di atas.
Bagaimanapun, sikap menyegerakan
qadha puasa itu sikap terpuji dan dituntut oleh syarak. Ini kerana ganjaran dan
pahala ibadat itu hanya Allah yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan
yang perlu diberikan kepada mereka.
0 comments: