Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah S.W.T, Pemilik alam
keseluruhannya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi
Muhammad S.A.W, Rasul-Nya dan penutup para nabi Allah.
Mukadimah
Kebelakangan ini, sering ternampak di laman-laman sosial,
laman-laman tarbiah, blog dan bermacam medium maklumat artikel berkaitan Nikah
Gantung atau lebih dikenali oleh masyarakat zaman kini sebagai
Nikah Khitbah. Namun sepanjang pemerhatian saya mengenai
Nikah Khitbah ini, jarang saya temukan artikel yang membicarakan
secara terperinci mengenai perbahasan hukum di sebalik ‘Nikah Khitbah’.
Istilah ‘Nikah Khitbah’
terdiri daripada dua perkataan, iaitu Nikah
dan Khitbah. Nikahsepertimana yang kita semua sedia maklum secara
umumnya ialah menghimpunkan seorang lelaki dan seorang wanita di dalam satu
ikatan atau akad yang syarie. Manakala ‘Khitbah’ secara umumnya pula merujuk
kepada pertunangan. Timbulnya penamaan ini kerana adat orang Arab di negara
Jordán khususnya mengistilahkan perkahwinan dengan akad tanpa walimah sebagai
‘Khitbah’. Dan pernikahan seperti ini tidak silap saya terkenal di kalangan
orang Melayu sebagai nikah gantung. WaAllahua3lam.
Nikah
Khitbah BUKAN Sejenis Pernikahan?
Ya! Mari kita jadikan artikel ini sedikit
santai. Nikah Khitbah bukanlah sejenis pernikahan. Tidak seperti
Nikah Misyar yang menggugurkan beberapa hak isteri dengan kerelaan isteri,
Nikah Mutaah yang berasaskan kontrak, Nikah Syighar yang
digugurkan daripadanya syarat akad yang sahih seperti pengguguran mahar atau
jenis-jenis pernikahan yang lain.
Adapun Nikah Khitbah ini sebenarnya ialah
sebahagian fasa daripada perkahwinan biasa. Perkahwinan dengan akad yang sahih
serta cukup syarat-syaratnya. Ringkasnya, Nikah Khitbahini ialah satu
istilah yang dinamakan (di-itlak-kan) kepada fasa pertama perkahwinan. Fasa
pertama perkahwinan?
Fasa-Fasa Perkahwinan
Fasa perkahwinan ini saya mulakan daripada termeterainya akad
perkahwinan. Andaikan perkahwinan ini seperti seutas tali. Hamparkan dan
tandakan kepada 3 bahagian. Mula, tengah dan penghujung. Mula ialah akad,
tengah ialah nafkah, manakala akhir letakkan syurga sebagai doa [insyaAllah].
Setelah dibahagikan begini, akan terdapat 2 bahagian. Bahagian pertama ialah
antara akad dan nafkah (iaitu mula dan tengah), dan bahagian kedua ialah nafkah
dan syurga (tengah dan penghujung). Bahagian pertama saya namakan sebagai Fasa
Pertama, dan bahagian kedua saya namakan Fasa Kedua. Pada Fasa Pertama inilah
yang dinamakan oleh sebahagian besar kita sebagai
Nikah Khitbah ataupun nikah gantung.
Kenapa Perlu Berfasa-fasa Pula?
Mungkin ada tertanya kenapa perlu di asingkan kewajiban
nafkah daripada akad. Bukankah dengan berlakunya akad, maka nafkah pun menjadi
wajib ke atas suami? Dalam satu pendapat fiqh yang bermazhab zohiri, ya.1
Tetapi, ulama’ mazhab yang empat telah meletakkan
beberapa syarat yang mesti dipenuhi sebelum kewajiban nafkah itu beralih kepada
suami. Ini berdalilkan perbuatan Rasulullah S.A.W. selepas Baginda mengahwini
Saidatina Aisyah R.A.. Baginda tidak menafkahi Saidatina Aisyah dengan
kewajiban nafkah ini sehingga berlalu beberapa tahun usia perkahwinan Baginda
dan Saidatina Aisyah.2 Iaitu selepas Baginda mendatangi Saidatina Aisyah
R.A. serta saidatina berpindah untuk tinggal bersama Baginda, Rasulullah S.A.W
ketika berusia 9 tahun.
Selain itu, antara faktor yang menyebabkan ulama’ meletakkan
syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk berpindah nya kewajiban nafkah itu ke
atas suami ialah permasalahan Nusyuz. Kerana nafkah itu digugurkan dengan
sebab berlakunya nusyuz, sedangkan ketika ini akad masih lagi wujud antara
suami dan isteri. Maka dengan itu, akad dan nafkah dipisahkan. Dalam erti kata
lain, sempurnanya akad tidak lagi mewajibkan nafkah.
Syarat
Wajib Nafkah
Saya kira, para
pembaca telah jelas mengenai dua fasa pernikahan yang telah saya nyatakan di
atas. Dalam beberapa pembacaan yang saya lakukan, saya temukan beberapa
pecahan yang membincangkan pendapat ulama’ mazhab dalam permasalahan ini. Saya
akan dahulukan penerangan yang dibawakan dalam kitab Fiqh Sunah – Sayid
Sabiq – dalam permasalahan ini, kemudian diikuti pecahan yang saya dapati
dalam kitab Mausu3h Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah. InsyaAllah.
Dalam kitab Fiqh Sunah, pengarang meletakkan 5 syarat
yang mesti dilengkapi, disempurnakan untuk diwajibkan nafkah;
1 Mestilah
akad nikah itu akad yang sahih.
2 Suami
mampu untuk berseronok dengan isteri. Mestilah suami dan isteri itu dari
ahli istimta’.
3 Isteri
mestilah menyerahkan dirinya kepada suaminya.
4 Isteri
menahan dirinya dari berpindah, mengikut apa yang dikehendaki suami. Melainkan,
suami menginginkan keburukan kepada isteri dengan perpindahan itu.
Berkata lagi pengarang; Jika tidak lengkap
satu syarat daripada syarat-syarat ini, maka nafkah itu tidak
wajib.3 WaAllahua3lam.
Seterusnya dinyatakan dalam Kitab Mausu3ah Fiqhiyah
Al-Kuwaityah bahawa ulama’ telah berselisih pendapat dalam menyatakan
sebab-sebab wajib nafkah ke atas isteri oleh suami. Adakah diwajibkan dengan
akad semata ataupun akad bersama tamkin dan penyerahan yang sempurna?
Padanya tiga pendapat dan dijelaskan pendapat kebanyakan ahli fiqh
– jumhur fuqaha – Hanafiah, Syafiyah dan Hanabilah ialah;
1. Mestilah
seorang wanita yang dewasa atau mampu untuk didatangi.
2. Hendaklah
isteri menyerahkan dirinya kepada suaminya bila-bila masa yang diminta.
Melainkan kerana uzur syarie. – Penyerahan yang sempurna, tamkin tam-
3. Mestilah
nikah itu sahih bukan fasad –tidak sah, yakni tidak sempurna-
Kemudian dijelaskan beberapa perkara seperti berikut:
Anak perempuan muda yang tidak mampu untuk didatangi, maka
tiada nafkah padanya.
Dan jumhur ulama’
tidak mensyaratkan baligh ke atas suami sebagai syarat wajib ke atasnya nafkah.
Bahkan diwajibkan ke atas anak lelaki muda nafkah kepada isterinya ketika
sempurna syarat-syarat yang telah disebutkan.4 WaAllahua3lam.
Tamkin : ialah
penyerahan diri secara sempurna, sama ada dengan menyerahkan dirinya atau
dengan menzahirkan kesediaan untuk menyerahkan dirinya kepada suaminya di mana
dia (isteri) tidak menghalang ketika diminta oleh suami. Sama ada didatangi
suaminya atau tidak. Dan sama ada isteri mahupun walinya yang meminta untuk
bersama atau tidak.5 Manakala dalam syarah yang lain dinyatakan tamkin,
yakni penyerahan mestilah sempurna. Dan tidak dikira akan ia jika penyerahan
itu berlaku semalaman sahaja (tidak sempurna), atau di tempat tertentu. Maka
tiada nafkah ke atasnya.6
Ringkasan dan Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapat dinyatakan bahawa Nikah Khitbah ini
adalah sebahagian daripada proses pernikahan yang biasa dilakukan. Cuma kurang
difahami secara umum, kerana kebanyakan daripada kita menganggap dengan
berlakunya akad antara lelaki dan wali perempuan, maka diwajibkan bersama ia nafkah
isteri ke atas suami. Dan permasalahan ini sebenarnya telah dibincangkan oleh
ulama’ terdahulu, cuma tidak dikhususkan istilah seperti yang dilakukan pada
zaman ini, melalui istilah Nikah Khitbah. Namun perlu diingatkan, semasa
proses akad, mahar adalah diwajibkan. Kerana ia adalah hak harta isteri yang
wajib kepada isterinya2-7 semasa proses akad (dengan beberapa penjelasan).
Nafkah pula menurut ulama’ mazhab memerlukan kepada beberapa syarat yang mesti
dipenuhi sebelum menjadi wajib ke atas suami.
Penutup
Artikel ini tidaklah membincangkan secara keseluruhan
mengenai permasalahan ini, lebih tertumpu kepada syarat-syarat wajib nafkah.
Secara ringkas. Segala kekurangan dalam artikel ini amatlah dikesali. Sebarang
teguran boleh diajukan terus kepada saya, insya-Allah. Moga dengan artikel
terdapat sedikit sebanyak manfaat bersama. WaAllahua3lam.
Wan Syafirdaus Hariz bin Wan Badarudin
Tahun 2 Ijazah
Pengajian Islam,
Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah, Fes, Morocco.
Rujukan:
1. Fiqh
As-Sunah, Sheikh Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Nafkah,
m/s 588.
2. Al-Mausu3ah
Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Wizarah Auqaf wa As-Shu-un Al-Islamiyah Kuwait,
Huruf An-Nun, Fasal Nafkah, Jilid 41, m/s 37, As-Syamila.
3. Fiqh
As-Sunah, Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Nafkah,
m/s 586
4. Al-Mausu3ah
Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Wizarah Auqaf wa As-Shu-un Al-Islamiyah Kuwait,
Huruf An-Nun, Fasal Nafkah, Jilid 41, m/s 38, As-Syamila.
5. Al-Fiqh
Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili, Dar Al-Fikr, Jilid 10,
Bahagian 6, Bab 3, Fasal 5, m/s 7374, As-Syamila
6. Hashiyah
Al-Bujairami 3la Al-Minhaj, Sheikh Sulaiman ibn Muhammad Al-Bujairami
As-Syafie, Kitab Nafakat, Jilid 14, m/s 110, As-Syamila.
7. Fiqh
As-Sunah, Sheikh Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Hak-Hak
Perkahwinan, m/s 578
0 comments: