Nikah Khitbah BUKAN Sejenis Pernikahan?




Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah S.W.T, Pemilik alam keseluruhannya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W, Rasul-Nya dan penutup para nabi Allah.

Mukadimah
Kebelakangan ini, sering ternampak di laman-laman sosial, laman-laman tarbiah, blog dan bermacam medium maklumat artikel berkaitan Nikah Gantung atau lebih dikenali oleh masyarakat zaman kini sebagai Nikah Khitbah. Namun sepanjang pemerhatian saya mengenai Nikah Khitbah ini, jarang saya temukan artikel yang membicarakan secara terperinci mengenai perbahasan hukum di sebalik ‘Nikah Khitbah’.
 Istilah ‘Nikah Khitbah’ terdiri daripada dua perkataan, iaitu Nikah dan Khitbah. Nikahsepertimana yang kita semua sedia maklum secara umumnya ialah menghimpunkan seorang lelaki dan seorang wanita di dalam satu ikatan atau akad yang syarie. Manakala ‘Khitbah’ secara umumnya pula merujuk kepada pertunangan. Timbulnya penamaan ini kerana adat orang Arab di negara Jordán khususnya mengistilahkan perkahwinan dengan akad tanpa walimah sebagai ‘Khitbah’. Dan pernikahan seperti ini tidak silap saya terkenal di kalangan orang Melayu sebagai nikah gantung. WaAllahua3lam.

Nikah Khitbah BUKAN Sejenis Pernikahan?
Ya! Mari kita jadikan artikel ini sedikit santai. Nikah Khitbah bukanlah sejenis pernikahan. Tidak seperti Nikah Misyar yang menggugurkan beberapa hak isteri dengan kerelaan isteri, Nikah Mutaah yang berasaskan kontrak, Nikah Syighar yang digugurkan daripadanya syarat akad yang sahih seperti pengguguran mahar atau jenis-jenis pernikahan yang lain.
Adapun Nikah Khitbah ini sebenarnya ialah sebahagian fasa daripada perkahwinan biasa. Perkahwinan dengan akad yang sahih serta cukup syarat-syaratnya. Ringkasnya, Nikah Khitbahini ialah satu istilah yang dinamakan (di-itlak-kan) kepada fasa pertama perkahwinan. Fasa pertama perkahwinan?

 Fasa-Fasa Perkahwinan


Fasa perkahwinan ini saya mulakan daripada termeterainya akad perkahwinan. Andaikan perkahwinan ini seperti seutas tali. Hamparkan dan tandakan kepada 3 bahagian. Mula, tengah dan penghujung. Mula ialah akad, tengah ialah nafkah, manakala akhir letakkan syurga sebagai doa [insyaAllah]. Setelah dibahagikan begini, akan terdapat 2 bahagian. Bahagian pertama ialah antara akad dan nafkah (iaitu mula dan tengah), dan bahagian kedua ialah nafkah dan syurga (tengah dan penghujung). Bahagian pertama saya namakan sebagai Fasa Pertama, dan bahagian kedua saya namakan Fasa Kedua. Pada Fasa Pertama inilah yang dinamakan oleh sebahagian besar kita sebagai Nikah Khitbah ataupun nikah gantung.

 Kenapa Perlu Berfasa-fasa Pula?

Mungkin ada tertanya kenapa perlu di asingkan kewajiban nafkah daripada akad. Bukankah dengan berlakunya akad, maka nafkah pun menjadi wajib ke atas suami? Dalam satu pendapat fiqh yang bermazhab zohiri, ya.1
Tetapi, ulama’  mazhab yang  empat telah meletakkan beberapa syarat yang mesti dipenuhi sebelum kewajiban nafkah itu beralih kepada suami. Ini berdalilkan perbuatan Rasulullah S.A.W. selepas Baginda mengahwini Saidatina Aisyah R.A.. Baginda tidak menafkahi Saidatina Aisyah dengan kewajiban nafkah ini sehingga berlalu beberapa tahun usia perkahwinan Baginda dan Saidatina Aisyah.2 Iaitu selepas Baginda mendatangi Saidatina Aisyah R.A. serta saidatina berpindah untuk tinggal bersama Baginda, Rasulullah S.A.W ketika berusia 9 tahun.

Selain itu, antara faktor yang menyebabkan ulama’ meletakkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk berpindah nya kewajiban nafkah itu ke atas suami ialah permasalahan Nusyuz. Kerana nafkah itu digugurkan dengan sebab berlakunya nusyuz, sedangkan ketika ini akad masih lagi wujud antara suami dan isteri. Maka dengan itu, akad dan nafkah dipisahkan. Dalam erti kata lain, sempurnanya akad tidak lagi mewajibkan nafkah.

Syarat Wajib Nafkah

 Saya kira, para pembaca telah jelas mengenai dua fasa pernikahan yang telah saya nyatakan di atas. Dalam beberapa pembacaan yang saya lakukan, saya temukan beberapa pecahan yang membincangkan pendapat ulama’ mazhab dalam permasalahan ini. Saya akan dahulukan penerangan yang dibawakan dalam kitab Fiqh Sunah – Sayid Sabiq – dalam permasalahan ini, kemudian diikuti pecahan yang saya dapati dalam kitab Mausu3h Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah. InsyaAllah.
Dalam kitab Fiqh Sunah, pengarang meletakkan 5 syarat yang mesti dilengkapi, disempurnakan untuk diwajibkan nafkah;
1     Mestilah akad nikah itu akad yang sahih.
2    Suami mampu untuk berseronok dengan isteri. Mestilah suami dan isteri itu dari ahli istimta’.
3    Isteri mestilah menyerahkan dirinya kepada suaminya.
4    Isteri menahan dirinya dari berpindah, mengikut apa yang dikehendaki suami. Melainkan, suami menginginkan keburukan kepada isteri dengan perpindahan itu.

Berkata lagi pengarang; Jika tidak lengkap satu syarat daripada syarat-syarat ini, maka nafkah itu tidak wajib.3 WaAllahua3lam.
Seterusnya dinyatakan dalam Kitab Mausu3ah Fiqhiyah Al-Kuwaityah bahawa ulama’ telah berselisih pendapat dalam menyatakan sebab-sebab wajib nafkah ke atas isteri oleh suami. Adakah diwajibkan dengan akad semata ataupun akad bersama tamkin dan penyerahan yang sempurna? Padanya tiga pendapat dan dijelaskan pendapat kebanyakan ahli fiqh – jumhur fuqaha – Hanafiah, Syafiyah dan Hanabilah ialah;
1.      Mestilah seorang wanita yang dewasa atau mampu untuk didatangi.
2.      Hendaklah isteri menyerahkan dirinya kepada suaminya bila-bila masa yang diminta. Melainkan kerana uzur syarie. – Penyerahan yang sempurna, tamkin tam-
3.      Mestilah nikah itu sahih bukan fasad –tidak sah, yakni tidak sempurna-

Kemudian dijelaskan beberapa perkara seperti berikut:
Anak perempuan muda yang tidak mampu untuk didatangi, maka tiada nafkah padanya.
 Dan jumhur ulama’ tidak mensyaratkan baligh ke atas suami sebagai syarat wajib ke atasnya nafkah. Bahkan diwajibkan ke atas anak lelaki muda nafkah kepada isterinya ketika sempurna syarat-syarat yang telah disebutkan.4 WaAllahua3lam.

 Tamkin : ialah penyerahan diri secara sempurna, sama ada dengan menyerahkan dirinya atau dengan menzahirkan kesediaan untuk menyerahkan dirinya kepada suaminya di mana dia (isteri) tidak menghalang ketika diminta oleh suami. Sama ada didatangi suaminya atau tidak. Dan sama ada isteri mahupun walinya yang meminta untuk bersama atau tidak.5 Manakala dalam syarah yang lain dinyatakan tamkin, yakni penyerahan mestilah sempurna. Dan tidak dikira akan ia jika penyerahan itu berlaku semalaman sahaja (tidak sempurna), atau di tempat tertentu. Maka tiada nafkah ke atasnya.6

 Ringkasan dan Kesimpulan

Secara keseluruhannya, dapat dinyatakan bahawa Nikah Khitbah ini adalah sebahagian daripada proses pernikahan yang biasa dilakukan. Cuma kurang difahami secara umum, kerana kebanyakan daripada kita menganggap dengan berlakunya akad antara lelaki dan wali perempuan, maka diwajibkan bersama ia nafkah isteri ke atas suami. Dan permasalahan ini sebenarnya telah dibincangkan oleh ulama’ terdahulu, cuma tidak dikhususkan istilah seperti yang dilakukan pada zaman ini, melalui istilah Nikah Khitbah. Namun perlu diingatkan, semasa proses akad, mahar adalah diwajibkan. Kerana ia adalah hak harta isteri yang wajib kepada isterinya2-7 semasa proses akad (dengan beberapa penjelasan). Nafkah pula menurut ulama’ mazhab memerlukan kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi sebelum menjadi wajib ke atas suami.

 Penutup

Artikel ini tidaklah membincangkan secara keseluruhan mengenai permasalahan ini, lebih tertumpu kepada syarat-syarat wajib nafkah. Secara ringkas. Segala kekurangan dalam artikel ini amatlah dikesali. Sebarang teguran boleh diajukan terus kepada saya, insya-Allah. Moga dengan artikel terdapat sedikit sebanyak manfaat bersama. WaAllahua3lam.

Wan Syafirdaus Hariz bin Wan Badarudin
 Tahun 2 Ijazah Pengajian Islam,
Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah, Fes, Morocco.


Rujukan:

1.     Fiqh As-Sunah, Sheikh Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Nafkah, m/s  588. 
2.      Al-Mausu3ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Wizarah Auqaf wa As-Shu-un Al-Islamiyah Kuwait, Huruf An-Nun, Fasal Nafkah, Jilid 41, m/s 37, As-Syamila.
3.      Fiqh As-Sunah, Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Nafkah, m/s  586
4.      Al-Mausu3ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Wizarah Auqaf wa As-Shu-un Al-Islamiyah Kuwait, Huruf An-Nun, Fasal Nafkah, Jilid 41, m/s 38, As-Syamila.
5.      Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili, Dar Al-Fikr, Jilid 10, Bahagian 6, Bab 3, Fasal 5, m/s 7374, As-Syamila
6.      Hashiyah Al-Bujairami 3la Al-Minhaj, Sheikh Sulaiman ibn Muhammad Al-Bujairami As-Syafie, Kitab Nafakat, Jilid 14, m/s 110, As-Syamila.

7.      Fiqh As-Sunah, Sheikh Sayid Sabiq, Dar Al-Hadis Kaherah, Bab Az-Zawaj, Fasal Hak-Hak Perkahwinan, m/s  578



0 comments:

Post a Comment