4 Cara Menjemput Jodoh Dengan Yakin oleh Ustaz Yusuf Mansur

menjemput jodoh
Menjemput jodoh memerlukan usaha
Artikel ini membantu individu bujang yang ingin dan sedang menjemput jodoh. Ia adalah artikel yang saya tulis semula daripada menonton video Cara Cepat Dapat Jodoh Dengan Yakin oleh Ustaz Yusuf Mansur dalam rancangan Wasata Hati.
Adakalanya kita tidak mempunyai impian dan keinginan yang dirancang. Bahasa lain, design our destiny.
Kita melalui hidup kita ibarat kapal yang bersauh di suatu perhentian tanpa hala tuju. Tiada matlamat utama yang ingin dicapai.
Apabila Allah beri kehidupan yang tidak kita inginkan, kita marah kepada Allah. Kita salahkan Allah, “Kenapa Kau beri aku begini?”
Sedangkan kita tidak sedar bahawa kita kedekut berdoa. Kedekut untuk meminta kehidupan yang bagaimana kita impikan.
Ada pepatah,
“Jika kamu gagal merancang, beerti kamu merancang untuk gagal.”

3 Sebab Mengapa Tiada Impian

  1. Terlalu kuat bekerja
  2. Kesibukan
  3. Mempunyai jadual yang padat
… sehingga lupa umur semakin meningkat ke arah umur 40 tahun. Sebaiknya kita tidak menjadi kapal  yang bersauh tanpa destinasi.
Penting ada pencapaian yang ingin dicapai, seperti menggunakan konsep Stepping Stone, iaitu susunan batu yang semakin menaik. Tiap langkah ada pencapaian yang semakin meningkat. Ia diadaptasi seperti dalam sebuah hadis.
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru penting adakan impian dan pencapaian yang kita ingin capai, supaya kita sentiasa menjadikan hari kita lebih baik daripada semalam. Insya-Allah.

Perkara Yang Menolak Jodoh

Antaranya adalah kurang yakin dan bersangka buruk kepada Allah. Andai sekarang kita sudah berumur 40 tahun, jangan merendahkan keyakinan sendiri dengan berkata,
“Aku sudah berumur 40 tahun, mana mungkin dapat yang berumur 30 tahun.”
Tidak mustahil dapat yang umur 25 tahun.
“Aku sudah berumur 39 tahun, mana mungkin dapat jodoh pada umur ini.” 
Tahun itu belum berakhir, justeru jangan buruk sangka pada Allah bahawa Dia tidak akan temukan jodoh kita walau sudah berusia 39 tahun. Sekali lagi – yakin.
Hatta The Beast pun dapat The Beast, pasti insya-Allah The Beauty akan dapat The Beautynya. Yakin.

Akad Nikah – Waktu Mustajab Doa
Ustaz Yusuf Mansur berkongsi, antara waktu mustajab untuk berdoa adalah ketika upacara akad nikah. Malaikat berada di majlis semulia itu yang insya-Allah akan memudahkan doa-doa yang dibaca ketika itu dimakbulkan dengan mudah.

Proses Menyeru Jodoh – Kisah Mak Dan Anak
Dalam proses menyeru jodoh, ada tertibnya.
  1. Banyakkan berdoa
  2. Perhatikan tanda-tanda Allah – selepas berdoa, perhatikan tanda-tanda Allah. Barangkali Allah memberikan sesuatu setelah kita berdoa
  3. Sedekah untuk tingkatkan potensi pemakbulan
  4. Lalui moment itu – go with the flow

Berdasarkan kisah benar di Indonesia.
Seorang anak perempuan sudah berumur 35 tahun, masih belum mendapatkan jodohnya. Justeru, suatu hari mak mengajak anaknya itu untuk berdoa. Mereka bangun malam dan sama-sama berdoa supaya anak perempuan itu mendapat jodohnya.
Tiap kali solat mereka berdoa, hatta pada solat Dhuha. Selepas 7 hari mengamalkannya, ada surat jemputan reunion datang ke rumah mereka. Apabila si mak khabarkan kepada anak perempuannya, kelihatan anaknya itu malas.
Si mak cuba memujuk dengan mengatakan, ada kemungkinan jodohnya di situ. Mungkin ia adalah tanda-tanda Allah memakbulkan doa mereka dengan sampainya surat jemputan reunion itu di rumah mereka.
Anak perempuannya tersedar dan bersetuju untuk pergi. Seterusnya mereka terus berwuduk dan berdoa. Mereka berterima kasih kepada Allah kerana mungkin surat reunion itu adalah antara tanda-Nya bagi doa mereka. Tidak cukup dengan itu, mak dan anak itu bersedekah dengan apa yang ada pada mereka.
Antara barang yang mereka sedekahkan adalah cincin, untuk meningkatkan pemakbulan doa mereka kepada Allah.
Si anak perempuan mula menelefon kawan-kawannya. Majoriti kawannya tidak datang ke reunion itu. Kemudian, anaknya itu datang ke reunion itu. Ketika anaknya datang ke reunion, tiada satu pun kawan-kawan sebatch dengannya, datang pada hari itu.
Suatu ketika, ada seorang lelaki menegurnya. Selepas berbual, rupa-rupanya lelaki itu juga tiada kawan-kawannya yang datang, yang dia kenal. Beberapa minit mereka berbual, tiba-tiba ada seorang budak lelaki datang kepada lelaki itu.
Perempuan itu mula rasa kecewa. Kemudian, perempuan itu bertanya, kepada lelaki itu – daripada tadi hanya nampak anak, isterinya di mana? Lelaki itu menjawab, isterinya telah meninggal. Perempuan itu mula tersenyum. Si perempuan bertanyakan bila isterinya meninggal.
Si lelaki menjawab sudah 2 tahun. Selepas itu, perempuan meluahkan dia juga masih belum berkahwin. Mereka berkawan selama 3 bulan, dan seterusnya bernikah.

 4 Proses Menjemput Jodoh

Syarat utama adalah kita yakin Allah akan berikan kita pasangan. Ia ada dalam firman Allah,
“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.” (Surah Yaasin: 36)

  1. Banyakkan berdoa
Antara yang menghijab kita daripada bertemu jodoh adalah kurang berdoa. Berdoa untuk jodoh yang soleh dan dibimbing Allah menjadi jodoh yang solehah walau daripada kecil. Adakalanya pemakbulan doa itu mengambil masa. Justeru, penting berdoa sejak kecil.
Berdoa tiap kali selepas solat. Disarankan berdoa bersama ibu bapa dan keluarga, supaya energi doa itu menjadi lebih kuat dengan izin Allah.
Sebaiknya tiap kali berdoa, beristighfar terlebih dahulu, selawat kemudian nyatakan doa secara spesifik.

  1. Kenali tanda-tanda Allah
Daripada kisah di atas, selepas 7 hari mereke berdoa, ada surat jemputan yang datang ke rumah mereka. Ia berkemungkinan besar adalah salah satu tanda-tanda Allah untuk memakbulkan doa kita.
Justeru, selepas berdoa penting peka dengan tanda-tanda yang Allah. Walau sekecil zarah pun, syukuri atas tiap-tiap tanda Allah itu walau kelihatan remeh.

  1. Sedekah untuk tingkatkan potensi pemakbulan
Walau tanda-tanda Allah sudah mereka dapat, mereka tetap bersedekah untuk meningkatkan potensi pemakbulan doa. Supaya anak perempuan itu mendapat jodohnya.

  1. Lalui situasi itu
Setelah berdoa, kenali tanda-tanda Allah, dan sedekah, lalui situasi itu. Seperti kisah di atas, anak perempuan itu pergi sahaja ke reunion itu walau tiada kawan-kawan yang sebatch dengannya yang datang.
Dengan doa, dia bertemu jodohnya di situ. Dia berkawan dengan lelaki yang ditemui di reunion itu, dan alhamdulillah selepas 3 bulan, mereka bernikah.
*****
Begitulah saranan Ustaz Yusuf Mansur dalam penjemput jodoh. Insya-Allah apabila mengamalkan 4 perkara di atas, ada sesuatu yang akan terjadi. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba yang mengangkat tangan berdoa kepada-Nya.

0 comments:

Post a Comment