Malaysia paling tinggi akses internet guna telefon pintar


SIVANANDAN pada sidang media mengenai kaji selidik Barometer Pengguna oleh Google di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Ghazali Kori
KAJI selidik Barometer Pengguna yang dikeluarkan Google Inc menunjukkan sebanyak 35 peratus daripada pengguna di Malaysia mengakses internet dengan menggunakan telefon pintar.
Angka itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara tertinggi di dunia yang mengakses internet secara eksklusif di telefon pintar, mengatasi pasaran serantau dan negara maju yang lain.
Pengarah Urusan Google Malaysia, Sajith Sivanandan, berkata kaji selidik itu mencadangkan entiti perniagaan di Malaysia perlu mengutamakan pembangunan laman web dengan aplikasi mudah alih atau platform telefon pintar bagi meneroka pasaran tempatan secara menyeluruh.
Katanya, corak pengguna itu selari dengan perkembangan pengguna internet di Asia yang beralih daripada penggunaan komputer kepada platform mudah alih yang lebih menarik, mudah dan fleksibel.
"Malaysia juga berada dalam kalangan lima negara utama dunia yang memiliki penggunaan telefon pintar lebih tinggi iaitu pada 51 peratus berbanding komputer hanya 39 peratus.
"Berdasarkan kaji selidik ini kami menasihatkan pengusaha perniagaan supaya mengutamakan pembangunan platform mudah alih ketika membangunkan atau menaik taraf laman web masing-masing.
"Daripada data SME Corp menunjukkan jumlah syarikat yang belum memiliki laman web masih rendah. Ini melambangkan skop yang luas kepada syarikat terbabit untuk menyediakan kehadiran mereka di internet dan platform mudah alih," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, kelmarin.

SIVANANDAN pada sidang media mengenai kaji selidik Barometer Pengguna oleh Google di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Ghazali Kori
Barometer Pengguna
Barometer Pengguna adalah antara kaji selidik utama industri yang memberikan maklumat penting kepada corak semasa penggunaan internet dalam kalangan pengguna seluruh dunia dan petunjuk industri berasaskan dalam talian.
Bagi sampel di Malaysia, kaji selidik dijalankan ke atas pengguna berusia 18 tahun ke atas mengikut perwakilan keseluruhan populasi di negara ini menerusi medium telefon (CATI) atau temubual secara langsung (CAPI/PAPI).
Antara bidang yang diambil kira dalam kaji selidik adalah penyertaan pengguna dalam pelbagai peranti dan perkakasan komputer, pembelian dalam talian, kecenderungan tabiat dalam talian.

sumber : http://www.bharian.com.my/node/14310

0 comments: