Berhutang dalam Islam



ISLAM tidak melarang umatnya berhutang tetapi perlu melalui kontrak yang berlandaskan syarak.


DEWASA ini, manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesempurnaan hidup sehingga memerlukan mereka berhutang.
Golongan ini berpegang kepada prinsip gaya hidup mewah meskipun hutang keliling pinggang. Punca utama mereka berhutang adalah untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah kepada rakan-rakan serta memiliki harta yang lebih daripada orang lain.
Sikap pembaziran tanpa keperluan ini adalah dilarang sama sekali oleh Allah SWT sebagaimana disebut dalam surah Al-Isra’ ayat 27: Ertinya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.
Namun, pada zaman moden yang mencabar ini, kos hidup dan harga barang keperluan semakin mencanak naik. Rentetan itu, kita terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ia secara tidak langsung menjadikan berhutang sebagai lumrah dalam kehidupan manusia. Kita terpaksa berhutang untuk membeli kenderaan, rumah, perabot dan untuk memulakan sesuatu perniagaan. Justeru, berhutang sebagai perkara yang tidak dapat dihindarkan pada hari ini.
Konsep berhutang
Jika dilihat dari perspektif syariah, secara umumnya tidak ada halangan untuk berhutang dalam memenuhi keperluan masing-masing.
Antaranya, firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah yang menyebut: Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)”. (Al-Baqarah: 282)
Ayat di atas menunjukkan bahawa konsep berhutang adalah dibenarkan dalam kehidupan manusia. Ia juga menggariskan beberapa syarat dalam berhutang seperti mestilah direkodkan bagi mengelakkan pertelingkahan bagi pihak berkontrak pada masa depan.
Bagaimanapun, Allah telah menjelaskan bahawa berhutang mestilah bersandarkan kepada beberapa kontrak yang diiktiraf syariah dan bukannya dengan cara yang tidak diredai Allah seperti riba.
Ini dapat dilihat dalam firman Allah tentang pengharusan jual beli dan pengharaman riba dalam ayatnya: Ertinya: “Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.Allah kurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan melalui) sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.” (Al-Baqarah: 275 hingga 276).
Berdasarkan ayat-ayat yang dikemukakan di atas, meskipun Islam membenarkan konsep hutang tetapi Islam telah menggariskan beberapa penekanan utama perlu diperhalusi dalam hal ini.
Hutang itu dibolehkan tetapi mestilah melalui mekanisme yang dibenarkan oleh Islam iaitu melalui kontrak yang berlandaskan syarak dan menjauhi elemen riba.
Di samping itu, Islam juga menegaskan supaya kita bersegera dalam membayar hutang untuk mengelakkan hutang berpanjangan dalam kehidupan kita.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz3HgWamOUF
Hakcipta terpelihara

0 comments: