Pakaian dan Ketakwaan
Saya terbaca satu artikel di akhbar yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan disini. Memandangkan sekarang pelbagai fesyen baju yang berleluasa di pasaran tempatan mahupun luar negara. Biar apapun pilihan kita terhadap pemakaian, pastikan iman dan ketakwaan kita tetap kepadaNya.. Insya allah .. :D
Ada Kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk
memisahkan hubungkait pakaian dan ketakwaan dengan berhujah bahawa Surah
al-A’raf ayat 26 memfokuskan kepada pakaian takwa atau libas al-taqwa daripada
pakaian lahiriah iaitu baju dan seluar yang kita pakai saban hari dan dengan itu bagaimana kita berpakaian
secara lahiriah tiada kaitan dengan ketakwaan yang menyentuh peribadi dan
akhlak kita.
Kepada yang berpandangan demikian, mereka tidak lihat kepada
maksud ayat tersebut dalam ruang lingkup kisah Adam dan Hawa yang terkandung
dalam surah tersebut dan juga surah-surah yang lain.
Sebenarnya, pakaian lahiriah dan pakaian ketakwaan bukanlah
dua pakaian yang berasingan. Mereka adalah satu pakaian yang sama dimana
pakaian lahiriah adalah pembinaan pakaian ketakwaan dan pakaian ketakwaan
adalah pemantapan pakaian lahiriah.
Adalah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk berpakaian
baju dan seluar yang membolehkan kita kelihatan seri, ceria dan tampan,
seterusnya mendatangkan pujian kepada keindahan wajah tubuh badan yang kita
miliki.
Namun keindahan lahiriah belum tentu menjamin keindahan
rohaniah sekiranya yang dipakai hanya kain-kain dengan corak dan fesyen yang
mengagumkan tetapi bukan nilai-nilai yang turut dibawa oleh pakaian tersebut.
Apakah yang terjelma daripada seorang perempuan Melayu
apabila dia mengenakan baju kurung, dari segi malunya, pertuturannya,
pergaulannya, tempat yang disinggahinya dan aktiviti yang dilakukannya?
Nyata sekali pakaian mempunyai pengaruh yang cukup mendalam
terhadap jiwa yang luhur, peribadi yang mulia, hormat- menghormati sesama
manusia serta persekitaran kehidupan yang aman sentosa. Dalam erti kata lain,
seseorang yang berpakaian lahiriah dan pada masa sama memakai nilai-nilai
keinsanan yang mulia akan menjadikannya seorang yang memakai pakaian takwa.
Sebab itu apabila dikatakan pakaian takwa lebih baik, ia bermakna seseorang itu
memahami makna berpakaian lahiriah kepada nilai dan keindahan jiwa dan
peribadinya sehingga ia boleh menjanakan wajah keinsanan yang bersifat mulia.
Seseorang yang dapat rasa dan menikmati kelazatan takwa yang
lahir dari cara dia berpakaian akan
memastikan dia teliti dengan cara berpakaiannya tetapi ini belum pasti berlaku
kepada orang yang hanya menjaga pakaian lahiriahnya tetapi tidak memastikan ia menjanakan ketakwaan dalam jiwa dan
peribadinya. Sebab itu pakaian takwa lebih baik kerana dengannya pakaian
lahiriah akan terjamin makna dan tujuan berpakaian.
Berpakaian unutk ketakwaan bukanlah sesuatu yang terbatas kepada orang Islam sahaja. Manusia
sejak zaman dahulu lagi dari pelbagai bangsa dan budaya sudah pun menekankan
betapa pentingnya pakaian kepada makna kita sebagai manusia. Masyarakat Cina,
umpamanya, sebenarnya adalah sangat
menitikberatkan persoalan pakaian
kepada jiwa, akhlak dan tingkah laku.
Filem-filem Cina yang disiar di saluran Astro di rangkaian
CH321 Celestial Classic Movies adalah bukti yang cukup nyata tentang perkara
ini. Kita lihat bagaimana dalam filem Cina yang berlatar zaman klasik,
watak-watak dalam filem tersebut
mengenakan pakaian yang menutup tubuh dari paras leher ke bahagian buku lali
kaki, mempunyai corak dan warna yang seri, dan seterusnya diiringi oleh cara
bertutur dan bergaul yang cukup murni, disertai oleh lagu-lagu yang melunakkan
hati, serta persekitaran kediaman yang dihuni oleh insan yang sejati.
Apabila kita lihat filem-filem Cina yang moden dan
kontemporari, kita dapati keadaan adalah
sebaliknya walhal watak-watak dalam kedua filem klasik dan moden adalah
pelakon-pelakon yang sama.
Sehubungan itu, apa yang masyarakat Islam hari ini tekankan
dari segi berpakaian adalah satu tradisi hidup yang telah dilakukan oleh warga
manusia sejak beribu tahun dahulu, tidak kira dari apa jua bangsa dan budaya.
Cuma 50 atau 60 tahun kebelakangan ini saja manusia moden mengenakan cara
pakaian yang kita lihat hari ini yang tidak melihat tubuh itu membawa apa- apa
erti kepada jiwa, peribadi dan pergaulan sesama manusia kecuali hanya sebagai
satu jasad yang nilainya tidak lebih daripada bahan komoditi yang kita guna pakai
sehingga satu tarikh luput yang kemudiannya diabai atau dibuang begitu saja.
Penulis Bekas Pensyarah Perbandingan Agama, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia.*
Akhbar Sinar Harian Selasa 21 Julai 2015.
0 comments:
Post a Comment