Lebih banyak biasiswa ditawar bagi tingkatkan industri sains data negara
Biasiswa untuk jurusan itu akan disediakan bermula dari peringkat ijazah sarjana muda
sehingga ijazah doktor falsafah. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Selaras dengan usaha membangunkan bidang sains data di negara ini, badan-badan kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menyediakan lebih banyak biasiswa untuk jurusan berkenaan.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata arahan berkenaan telah dikeluarkan dan biasiswa untuk jurusan itu akan disediakan bermula dari peringkat ijazah sarjana muda sehingga ijazah doktor falsafah.
"Bagi mengatasi jurang kemahiran, kerajaan memutuskan untuk mengarahkan agensi pemberian biasiswa seperti JPA, Kementerian Pendidikan dan MARA, termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan biasiswa bagi melatih lebih ramai rakyat Malaysia dalam bidang sains data di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Ia berkuatkuasa serta merta untuk meningkatkan bilangan saintis data di negara ini," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-26 di Putrajaya.
Sehubungan itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah untuk melantik seorang ketua saintis data bagi membangunkan bidang sains data profesional di negara ini.
"Untuk menerajui inisiatif ini, pihak kerajaan sedang mempertimbangkan langkah melantik seorang saintis data bagi pihak kerajaan dan cadangan ini akan dikemukakan ke peringkat kabinet dalam masa terdekat." tambah Najib.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kira-kira 10,000 saintis data profesional diperlukan untuk membangunkan sistem data negara menjelang tahun 2020.
Kerajaan juga sedang berusaha membawa pulang saintis-saintis data di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.
"Setakat ini kita mungkin ada 1,000 lebih di kalangan data profesional tetapi data saintis itu tidak ramai dan ada beberapa orang di merata dunia dan kita berusaha mendapatkan mereka kembali. Sebelum ini kedudukan dalam kerajaan tidak begitu jelas kedudukan mereka, kini mereka akan diberikan tempat lebih menarik." kata Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas majlis yang sama.
Dalam usaha merealisasikan peluang dalam big data analytics (BDA), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) akan melaksanakan tiga projek berimpak tinggi dalam pembangunan bakat.
Antaranya termasuk penubuhan Institut Data Sains Asia, data terbuka kerajaan dan penubuhan Pusat Inovasi Kecemerlangan BDA bagi melahirkan bakat tempatan dalam bidang sains data.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/lebih-banyak-biasiswa-ditawar-bagi-tingkatkan-industri-sains-data-negara-46806?cp
0 comments:
Post a Comment